Sabtu, 2009 November 07

Sejarah Melayu dari Blog Farul Azri

SEJARAH MELAYU DARI BLOG FARUL AZRI,

Farul Azri, Penulis banyak terlibat di dalam bidang pengiklanan di seluruh dunia. Hasil kerja beliau dapat dilihat dari Jepun sehingga menjangkau sejauh benua Amerika dan Eropah. Seorang berbangsa Melayu yang amat bangga dengan sejarah bangsanya sendiri. Yang memuliakan agamanya yang satu iaitu Islam sebagai pegangan zahir dan batin.

Atas dasar cintakan sejarah, penulis juga telah menemui beberapa pakar sejarah dan sering mengadakan diskusi-diskusi bersama beberapa sarjana sajarah dan budaya dari seluruh pelusuk dunia. Penulis juga telah merantau jauh semata-mata bagi mencari apa yang beliau gelar 'Melayu & Islam'...

Saya tertarik dengan artikelnya berjodol: Migrasi Manusia Dari Sungai Mekong Ke Dunia Melayu....Sungai Mekong, yang berukuran 4180km panjang, bermula dari Tibet dan melalui Yunnan, wilayah China, Myanmar, Thailand, Laos, Kemboja dan Vietnam. Pakar-pakar Antropologi menjejaki migrasi masyarakat Melayu Proto, yang merupakan pelaut, lebih kurang 10,000 tahun dahulu apabila mereka belayar menggunakan perahu di sepanjang Sungai Mekong dari Yunnan sehingga Laut China Selatan dan akhirnya mendiami di tempat-tempat berbeza.......

Sila klik blognya untuk membaca lebih lanjut mengenai Melayu di SEJARAH MELAYU

Khamis, 2009 Oktober 22

Segarkan Kembali Pantun Melayu

Jika dahulu masyarakat Melayu kita gemar berpantun, kini puisi indah ini sudah jarang digunakan. Hanya majlis-majlis tertentu saja pengacara atau mereka yang mengendalikannya berpantun. Pernah juga kita lihat beberapa pantun yang sebenarnya bukan pantun, bertabur sebutan hujungnya.

Pantun merupakan satu puisi Melayu sejati. Pantun terpendek terdiri daripada dua baris yang mempunyai ikatan berirama dan mempunyai sebutan yang sama dihujungnya. Baris-baris ini pula boleh dikumpulkan menjadi empat, enam ataupun lapan baris. Jarang terdapat pantun yang melebihi lapan baris dan pada kebiasaannya pantun terdiri daripada empat barisan.

Pantun terbahagi kepada dua bahagian sama banyak rangkapnya, iaitu bahagian pembayang dan diikuti pula dengan maksud pantun. Bahagian pembayang bagi pantun empat kerat terdiri daripada dua ayat pembayang dan dua ayat maksud, dan bagi pembayang pantun lapan kerat adalah empat ayat pembayang dan empat ayat maksud dan demikianlah seterusnya.

Semoga, puisi warisan Melayu ini terus dipertahankan. Kepada Jabatan-Jabatan Kerajaan dan pihak-pihak tertentu yang menganjurkan sesuatu persembahan dan acara diharap terus menggunakan beberapa rangkap pantun ketika pembukaan dan penutup. Diharapkan nanti seni ini terus bertahan dan tidak dilupakan oleh generasi akan datang.

Kuala Muda, pekan ternama

Nelayan berlalu, jumpa petani

Melayu Masih Ada, blog bernama

Datanglah selalu, singgah di sini

Selasa, 2009 Oktober 20

Jangan pertikai jika budaya rakyat Malaysia dan Indonesia bertindih - Rais


........Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata aspek kebudayaan, bahasa dan seni antara Malaysia dan Indonesia adalah serupa sejak dahulu lagi kerana penduduk kedua-dua negara adalah daripada rumpun Melayu.

Untuk itu mana-mana pihak di Malaysia dan Indonesia tidak boleh mempertikaikan jika terdapat persamaan budaya antara rakyat keduadua negara kerana masing-masing mempunyai talian darah dan sejarah, katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan 19 wartawan dari Bukit Tinggi, Padang, Indonesia di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau memberi contoh mengenai tarian kuda kepang di Johor yang sama dengan tarian kuda kepang di Jogjakarta.

"Ini bukan ciplak," katanya.............

Klik berita ini seterusnya......

Selasa, 2009 Oktober 06

Bulan Pandai Berbahasa Kebangsaan, Manusia Tidak


"......KUCHING: Selaras dengan keputusan kerajaan untuk mengisytiharkan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan, semua kementerian, kerajaan negeri dan agensi kerajaan diarah melaksanakan program bahasa peringkat masing-masing sepanjang bulan itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin. Timbalan Perdana Menteri, berkata langkah itu adalah usaha kerajaan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan bahasa kebangsaan sebagai wahana perpaduan serta bahasa komunikasi. "Kegiatan-kegiatan bahasa dan persuratan kebangsaan akan dipertingkatkan sepanjang bulan ini untuk menyemarakkan lagi penggunaan bahasa kebangsaan di kalangan masyarakat kita," katanya pada pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan, peringkat kebangsaan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini, hari ini......."

Oktober diisytiharkan bulan Bahasa Kebangsaan! Ya Alhamdullilah betapa seronoknya saya dan pencinta--pencinta bahasa semua. Tapi benarkah usaha yang baik ini akan menjadi kenyataan? Usah kata sebulan, jika dalam sehari pun susah kita nak lihat rakyat kita benar-benar menggunakan Bahasa Kebangsaan. Anak-anak muda kita (yang tua pun tumpang sekaki) yang menggunakan SMS, Chat, Ruangan Komentar, Facebook dan sebagainya di internet pun dah jadi semakin teruk penggunaan bahasa mereka.

Contoh Bahasa Lintang Pukang:
......Al kesahnyeee... Aku, Fda & K.Wna kuaq g hr nie, nk usha tmpt utk printing t-shirt... Tmptnye kat My Sticker Station... Info psl tmpt nie kitorg dpt frm Aunty sbb Ima tmph t-shirt STORM utk cheeleading contest hr tue kt sni... Gud quality... So, survey je aaa! Smpi situ, sorg akak name Siti sambut kitorg... Pilih shirt kaler merah, diskas2 lebey kurg, trs proceed with design... Simple je, xmo sarat sgt... Letak design byk2 watpe, kg semak lax org tgk! Xsesuwaiii... Mcm kte K.Siti, boley siap cpt... Hope so boley aa pki utk 16th KRU Anniversary @ RUUMs nnt... Dh byr deposit sume, makan time! Adoi, lapo nyeee!.......

Wahai Melayu! Jika kita sendiri tak hormat dan tak sayangkan bahasa kita, habis nak harap siapa lagi? Apa akan jadi pada Wawasan 2020 nanti? Bahasa kita semakin mati, dibunuh oleh anak-anak kita sendiri.

Selasa, 2009 September 29

Perkara Yang Melalaikan Melayu Semakin Meningkat


Hari ini seluruh bangsa di dunia telah dilalaikan dengan berbagai perkara yang mengasyikkan. Sebagai bangsa Melayu, marilah sama-sama kita jaga bangsa kita dari terjerumus kepada kelalaian ini. Dulu kita ketagihan tv. Kalau ada rancangan-rancangan yang kita gemari, kita sanggup tidak keluar ke mana-mana walaupun ada sesuatu pekerjaan atau perkara penting. Keasyikkan mendengar lagu di sana sini juga berlaku. Walkman di telinga berpanjangan hingga kita gagal berfikir sejenak ke arah kebaikkan. Kemudian muncul pula internet, ada anak-anak yang terpaku di depan komputer berjam-jam lamanya. Sms, handphone, game dan bermacam-macam lagi terus menguasai kehidupan kita. Paling terbaru ialah facebook. Ramai yang sudah ketagih menggunakannya. Ada yang dapat mengawal masa dan mendapatkan perkara yang berfaedah dan ramai juga yang gemar bermain game, kuiz-kuiz yang mempengaruhi remaja dan perbualan kosong.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’aala:


“Telah nyatalah kejayaan para Mukmin. Iaitu mereka yang di dalam solat mereka, khusyu’ mendirikannya. Dan mereka itu terhadap perkara-perkara yang melalaikan, mereka menghindarkannya” [al-Mu'minun 23: 1-3]

Wahai Melayu! Kita pertahankan kekuatan bangsa kita dan jauhilah perkara-perkara yang melalaikan kerana ianya melemahkan bangsa dan dilarang oleh Allah SWT.

Ahad, 2009 September 27

Rumah Terbuka Orang Politik Dicemar Bodek Membodek


Bagi mereka yang berada, mengadakan rumah terbuka untuk sambutan raya amatlah digalakkan. Merapatkan hubungan, menyatukan kaum keluarga dan kawan rakan juga sebagai kenduri. Alhamdullilah.
Sayangnya, pembodek dan pengampu orang-orang politik kerap mencemarkan suasana rumah terbuka. Mereka tidak bercampur dengan orang ramai, sebaliknya duduk bersama rakan parti mereka sahaja. Kalau ada seorang Ketua atau Datuk yang duduk di satu sudut, mereka mengerumuninya. Bila ketua atau Datuk tersebut berjenaka (walaupun tak lawak), mereka akan ketawa berdekah-dekah riuhkan suasana. Ketawa mereka bukan kerana geli hati, tapi nak jaga hati atau bodek Ketua atau Datuk tersebut. Inilah sifat hipokrit.

Jika niat hendak rapatkan silatulrahim, gunakanlah rumah terbuka hari raya ini sebetul-betulnya. Bermaaf-maafan di antara satu sama lain. Beramah mesra. Buangkan sifat bodek membodek @ ampu mengampu. Semuanya sama, tak kira miskin kaya dan apa saja golongan.

Hipokrit maknanya:
orang yg berpura-pura berperangai baik; munafik
(orang yg) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yg) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan drpd yg sebenarnya, munafik.
(orang yg) berpura-pura berperangai (berkelakuan, bersifat, dll) baik, (orang yg) memperlihatkan keadaan diri yg berlainan drpd yg sebenarnya, munafik.
orang yg berpura-pura berpe­rangai baik; munafik.

Jumaat, 2009 September 25

Kahwin di Hotel, Cerai Di Mana Mana


Adat istiadat kenduri kahwin orang-orang Melayu memang elok kita warisi walaupun yang lebih penting dan utamanya ialah 'akad nikah'. Kalau sesaorang itu berkemampuan dan berhajat nak adakan kenduri... silakanlah. Sekurang-kurangnya jemputan yang datang tahu bahawa anak tuan rumah tu dah pun berkahwin, tak timbul fitnah lagi. Jika kenduri itu ikhlas pula, InsyaAllah mendapat keberkatan dan pahala. Para tetamu yang datang pula dapat bertegur sapa dan mengenali antara kaum keluarga dan sahabat handai satu sama lain. Alangkah indahnya budaya Melayu!

Tapi nampaknya ada juga Melayu-Melayu yang memilih hotel-hotel mewah untuk dibuatkan majlis. Perbelanjaan hingga puluhan dan ratusan ribu. Ada yang kenduri hanya dengan menjemput orang-orang berada dan berstatus tinggi sahaja. Orang-orang bawah yang difikirkan tak layak masuk hotel tidak dijemput. Ada yang nampak riak atau besar diri seperti mahu orang lain tahu kehebatan mereka.

Tak apalah... itu duit dan wang mereka. Nak buat tiga hari tiga malam pun tiada siapa yang larang. Cuma kita harap janganlah jadi "Nak kahwin di hotel,tapi nak cerai di mana-mana saja". Yang kita perlukan ialah keberkatan, maksud saya keberkatan dari Allah. Jika apa yang kita lakukan tidak mendapat keberkatan, bimbang nanti perkahwinan ini jadi seperti permainan sahaja. Sekejap kahwin sekejap cerai.

Jumaat, 2009 September 18

Kekalkan Berpakaian Melayu


Pada hari raya pertama kita semua dapat saksikan suasana 'Melayu' di tanahair kita. Pandanglah ke kiri, kanan, depan dan belakang... kita nampak banyaknya 'Melayu'. Buktinya... ramai di antara kita yang akan mengenakan baju melayu bagi si lelaki dan baju kurung dan kebaya bagi si perempuan.

Tapi suasana begini hanya setahun dua kali sahaja. Raya puasa dan raya haji. Apa kata kalau kita teruskan juga pada hari-hari yang lainnya? Pakaian melayu memang cantik dipandang. Lembut dan sopan. Si pemakainya juga akan berjiwa demikian walaupun secara tak langsung. Orang-orang luar seperti pelancong tentu akan lebih terpikat apabila melihat orang-orang kita mengenakan pakaian seperti ini. Mereka pasti akan mengambil gambar dan bergambar dengan si pemakainya sekali. Mereka bangga dapat tunjukkan kepada rakan-rakan dan keluarga mereka apabila pulang ke negara mereka masing-masing.

Wahai Melayu! Bangsaku memang kaya dengan budi bahasanya. Melayu tak mungkin hilang di dunia!

Selasa, 2009 September 08

Jangan Jadikan Seni Sebagai Maksiat


Wahai Melayu Malaysia...Janganlah menyalahgunakan seni dan hiburan kita untuk tujuan maksiat. Janganlah jadi seperti Melayu dari negara jiran kita, batasan mereka berhibur sudah begitu banyak dicemarkan dengan maksiat semata-mata... Dalam persembahan konsert-konsert dangdut yang diadakan di sana sini, si penyanyi perempuan yang berpakaian seksi dan menjolok mata akan menggayakan tarian dan goyangan yang menghairahkan penonton. Peminat-peminat lelaki akan membawa wang di tangannya menari dengan penyanyi tersebut. Sesekali si peminat lelaki tadi akan merapatkan dirinya kepada penyanyi tersebut sambil memeluk dan mencium (ada juga yang meraba) sambil memberikan wang kertas kepada penyanyi tersebut.

Tidak hairanlah jika Allah telah menurunkan bala yang begitu ketara kepada negara tersebut. Apakah kita juga mahu mengundang bala dan bencana seperti itu? Ingat! Awasilah kemurkaan Allah kepada kita.

Selasa, 2009 Ogos 25

Kubur Kata Mari.....


Sejak akhir-akhir ini kita asyik risaukan masalah sosial remaja Melayu tapi kita terlupa dengan masalah sosial orang-orang tua. Bagaimana dengan Pak Cik dan Tok Dangdut? Bagaimana dengan Pak Cik dan Tok Kaki Ekor? Bagaimana dengan Pak Cik dan Tok Lepak? Bagaimana dengan Pak Cik dan Tok Kaki Perempuan? Bagaimana dengan Pak Cik dan Tok Kaki Botol?

Amat menjijikkan bila kita tengok mereka-mereka yang kubur dok panggil mai dan rumah dok suruh pi ini. Kata orang umur dah lebih lima puluh kalau tak berubah tu... habislah. Sepatutnya, Pak Cik Pak Cik dan Tok Tok nilah yang nasihatkan anak-anak remaja supaya berada di landasan yang betul. Ini, mereka sendiri pula yang lebih.

Kita tidak berniat menghina sesiapa, tapi kepada yang terlanjur dan tersesat tu kembalilah ke pangkal jalan. Allah Maha Pengampun Maha Penyayang! Sempena Ramadhan yang mulia ini marilah wahai Melayu! Kita bertaubat dan minta keampunan dari Allah semoga kita menjadi orang yang beriman. Satu demi satu rakan-rakan kita tak kira tua dan muda dah kembali keRahmatullah.

Rabu, 2009 Ogos 05

Arak Juga Dijual Di Kawasan-Kawasan Melayu Lain


Dalam beberapa hari ini kita tidak putus-putus membincangkan penjualan arak berleluasa di kawasan-kawasan penduduk Melayu yang beragama Islam. Bagus juga cerita ini, sekurang-kurangnya akan menyedarkan juga kepada peniaga-peniaga di luar Selangor.

Saya yang tinggal di Daerah Seberang Perai Tengah juga sering melihat kebanyakkannya remaja-remaja Melayu yang membeli arak di beberapa buah kedai di kawasan Melayu di sini. Contohnya di Kedai 24 jam Taman Pauh, Permatang Pauh, Seberang Perai. Saya tanya jurujual tersebut, katanya bossnya yang suruh jual. Saya tanya bangsa apakah pembelinya? Katanya boleh dikatakan semua anak-anak muda Melayu. Ada yang membeli tanpa segan silu dan seolah-olah berbangga memiliki minuman keras. Kalau di Bandar Sunway Seberang Jaya, kedai 24 jam di situ menjual dengan lebih bebas lagi kerana kawasan itu berbagai bangsa.

Ketika saya berjalan-jalan di Sebuah Pasaraya terbesar di Seberang Jaya dalam bulan puasa dua tahun yang lepas pula, ketika itu di penghujung Ramadhan, hampir nak raya... alangkah sedihnya saya melihat beberapa orang remaja Melayu membeli botol arak dengan megah sekali. Terfikir saya, anak siapakah mereka? Jika mereka kurang didikan agama, Allah akan mempersalahkan ibu bapa mereka juga. Jadi kepada ibu bapa Melayu Islam dan saya sendiri, tinjau-tinjaulah anak-anak kita... esok diakhirat kita juga yang kena jawab.

Kepada Wakil Rakyat Permatang Pauh, tinjau-tinjaulah di kedai 24 jam yang saya maksudkan... Saya harap bukan sahaja Selangor, malah semua negeri Di Malaysia harus bertindak segera!

Jumaat, 2009 Julai 31

Artis, Selebriti, Media Dan Melayu

Peristiwa Farawahida-Julfekar, foto 'bogel' Mawi, Memey-Norman dan banyak lagi contoh-contoh peristiwa yang mengaibkan Melayu. Kita tidak berhasrat menuduh sesiapa, betul atau tidak betul itu bukanlah hak kita untuk menentukannya. Kalau betul - mengapa tergamak mereka buat begitu. Kalau tak betul - mengapa tergamak orang memfitnah mereka (bangsa sendiri).

Media juga tidak harus membesar-besarkan hal-hal artis atau selebriti Melayu ini. Alangkah malunya kita kepada bangsa-bangsa lain melihat Melayu huru-hara dengan perkara-perkara sebegini. Kalau Melayu nak maju, bukanlah begini caranya. Bangsa Melayu yang terkenal dengan budi bahasa dan sopan santunnya ke mana menghilang?

Isnin, 2009 Julai 27

Baling Batu. Sana Baling Sini Baling Kedua-dua Terguling


Bukan hal politik... bukan apa-apa... Tapi yang amat merisaukan kita ialah apabila Melayu VS Melayu tak habis-habis bertelagah pendapat. Paling terbaru isu ISA. Kedua-dua pihak nak tunjuk citarasa masing-masing. Majoritinya ialah 'Melayu'.

Jika seorang membaling batu kepada seorang lain, maka orang yang kena baling itu pula membaling kembali kepada orang yang membaling kepadanya tadi, maka tak habislah kisah baling membaling ni... Akhirnya ketika baling membaling itu, mereka sudah pasti tidak dapat membuat apa-apa pekerjaan yang berfaedah. Asyik baling membaling sesama sendiri sahaja. Yang luka kena batu, yang benjol kena batu bukan orang lain tapi sesama sendirilah. Lalu jatuh rebah... batu-batu bertukar tempat. Siapa yang menang siapa yang kalah? Kedua-duanya kalah... Orang luar yang melihat bertepuk gembira melihat peristiwa itu.

Jika kita bijak, jika kita berakal waras, fikir-fikirkanlah...

Jumaat, 2009 Julai 17

Tertarik Artikel Bahayanya Laman Sosial Networking oleh Luth Textile


Tertarik dengan tulisan Luth Textile dalam blognya LUTH TEXTILE di http://www.luthtextile.com/ Tajuk: Bahayanya Laman Sosial Networking!

Wahai gadis-gadis dan remaja Melayu. Awaslah usaha Yahudi untuk merosakkan Islam kita dan memporak perandakan tatasusila bangsa Melayu kita yang terkenal dengan lemah-lembut, sopan santun dan berbudi bahasa.

Ahad, 2009 Julai 12

Bancian PPSMI




Lihat perbezaan keputusan undian PPSMI Blog Tun Dr. Mahathir dan Utusan Malaysia Online.

Dipetik pada 12 Julai 2009.

Kiri Blog Tun Dr. Mahathir

Kanan Utusan Malaysia Online

Sedih, Sasterawan Dikecam Kerana Mempertahankan Bahasa Melayu


Kerana keputusan kerajaan mengenai PPSMI, habis para sasterawan dikecam. Yang mengecamnya pun Melayu juga. Blog Tun Dr Mahathir Mohamed yang melancarkan undian telah mendapat 80% yang tidak menyokong keputusan kerajaan ini. Ramai pula mereka yang bertukar menjadi pembangkang kepada kerajaan dalam perkara ini. Para pengkomen pula terus mengutuk mereka-mereka yang memperjuangkan Bahasa Melayu ini. Bagaikan satu pesta menghentam Melayu!. Tapi sayangnya blog Tun Dr Mahathir sendiri ditulis dalam bahasa Inggeris, jadi yang membacanya pun bijak-bijak Inggeris belaka. Yang tak pandai Inggeris mungkin tak baca. Jika Melayu sudah menghentam Melayu, apa lagi mereka yang memang dah lama tak suka dengan Bahasa Melayu ini. Berpestalah.... 

Kalau orang nak hentam saya, hentamlah. Nak kutuk saya... kutuklah. Saya ada hak untuk mempertahankan Bahasa Melayu yang saya hormati sejak dari kecil lagi. Maaf saya tak dapat nak menukar pilihan saya. Saya tidak terpengaruh kepada sesiapa. Jika dari kecil saya dah tekad mengatakan itu pilihan saya, maka itulah yang saya pilih. Saya bangga jadi orang Melayu. Kepada para sasterawan, janganlah sedih. Tuan-tuan berada di pihak yang benar. Jiwa Tuan-tuan tidak mudah dipatahkan oleh sesiapa. Biar orang kutuk kita asalkan kita tidak kutuk bahasa dan bangsa kita sendiri.

- Saya tetap tidak berganjak, Bahasa Melayu adalah keutamaan!

Sabtu, 2009 Julai 11

Masa Depan Orang Melayu Dari Pandangan Bekas Pemimpin


Dipetik dari Malaysiakini 10 Julai 2009

.........Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.
Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya........

Puisi Omar M. Hashim 'MelayuKu'

MELAYUKU
Terpaksa aku
Berkata tentang Melayu
Melayu hampir layu
Bahasaku dihina
Bangsaku disenda
Ada yang malu bernama Melayu
Malu berwajah Melayu
Malu berpakaian Melayu
Seni Melayu entah di mana?
Budaya Melayu pergi ke mana?

Melayu tetap darah dagingku
Akan kupertahankan Melayu
Ini hakku
Supaya tidak pupus seperti dinasour
Bukan hanya untuk tatapan di Muzium
Tapi aku yakin
Takkan Melayu Hilang Di Dunia
Melayu Masih Ada
Hidup Melayu
MELAYU!

oleh: Omar M. Hashim 
11 Julai 2009
Permatang Pauh

Khamis, 2009 Julai 09

Terima Kasih Kepada Pejuang Bahasa Melayu

Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Datuk Hassan Ahmad menyifatkan keputusan kerajaan memansuhkan dasar Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) mulai 2012 sebagai satu kejayaan rakyat.

Rabu, 2009 Julai 08

Sains dan Matematik dalam BM dan bahasa ibunda 2012: Muhyiddin


"Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah kebangsaan akan dilaksanakan dalam Bahasa Malaysia berkuatkuasa pada 2012.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik di sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil pula akan dilaksanakan dalam bahasa ibunda masing-masing.

Muhyiddin berkata kabinet hari ini meluluskan cadangan strategi Kementerian Pelajaran untuk memartabatkan Bahasa Melayu dan memantapkan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris di semua peringkat persekolahan".

Terima kasih, ini berita baik! Tapi kita tunggu dulu ulasan-ulasan yang akan menyusul dari rakyat nanti.

Isnin, 2009 Julai 06

TINGGALKAN PERSELISIHAN POLITIK, MARI SOLAT HAJAT


Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan PAS Pusat mencadangkan diadakan Solat Hajat Agar Wabak Influenza H1N1 Tidak Terus Merebak.

PAS melihat wabak ini satu ancaman baru kepada rakyat Malaysia khususnya dan seluruh dunia amnya. Justeru itu, pelbagai usaha harus dilakukan bagi membasmi penularan wabak ini. PAS Pusat meminta agar semua ahli, penyokong dan rakyat yang beragama Islam beramai-ramai melakukan Solat Hajat di Masjid, Surau, Padang atau dirumah masing-masing dengan doa, semoga Allah membantu kita menghentikan wabak ini dari terus merebak.

Kepada yang bukan Islam, PAS Pusat menyeru agar mereka berdoa kepada tuhan masing-masing mengikut ritual agama mereka.

Semoga dengan kesatuan doa ini, wabak ini dapat disekat dari terus merebak. Sesungguhnya setiap yang terjadi itu datangnya dari Allah, dan hikmahnya Allah mahu kita bersatu dan terus mengingatinya. Jadikan wabak Influenza H1N1 sebagai satu peringatan dari Allah. Sesungguhnya amat beruntung bagi mereka yang tidak pernah lupa menyembah tuhannya. - Marilah wahai Melayu dan semua yang beragama Islam tak kira apa fahaman politik sekalipun, kita anjurkan solat hajat besar-besaranKita tinggalkan dulu membesarkan perselisihan faham politik tapi mari kita bersama-sama berdoa kepada Allah yang Maha Besar. Allah suka kepada mereka yang meminta pertolongan kepadaNya.

Sabtu, 2009 Jun 27

Usaha UUM dan UKM Yang Saya Hargai





Saya terima sebuah CD yang berjodol Lagu-Lagu Keroncong dari Pusat Kebudayaan Universiti Kebangsaan Malaysia tahun lalu dan sebuah lagi CD berjodol Bello Bello dari Pengarah Pusat Budaya dan Seni Huzaidy Bin Hussain. Saya dengar berkali-kali lagu-lagu dari kedua-dua cakera padat ini dan benar-benar terhibur mendengar alunan suara dari anak-anak muda ini.

Mungkin banyak lagi pihak-pihak yang mengeluarkan lagu-lagu seperti ini tapi tidak sampai ke tangan saya. Namun saya sungguh gembira kerana ketika Melayu berdepan dengan arus kemodenan dan kebaratan, masih ada lagi mereka-mereka yang mahu menghargai hasil seni seperti ini. Lagu-lagu keroncong sudah semakin dilupakan sekarang, begitu juga lagu-lagu yang berirama keMelayuan seperti ini.

Hari ini kebanjiran lagu-lagu dari barat sudah menutup semangat cintakan lagu-lagu dan seni budaya kita sendiri. Jika usaha-usaha seperti ini tidak dibuat, lama kelamaan kemungkinan lagu-lagu Melayu kita akan pupus atau sudah jadi bahan muzium untuk dikaji oleh cucu dan cicit kita di masa akan datang. Jika tidak kita yang mulakan, siapakah lagi? Kita pastikan 'Melayu Masih Ada'. - OMARA

Jumaat, 2009 Jun 26

Jadi Ular Lebih Baik Dari Jadi Bangau


“....Bangau oh bangau mengapa engkau kurus? Macam mana aku tak kurus ikan tak mahu timbul
Ikan oh ikan Kenapa tak mahu timbul? Macam mana aku nak timbul rumput panjang sangat
Rumput oh rumput Kenapa panjang sangat? Macam mana aku tak panjang kerbau tak makan aku
Kerbau oh kerbau Kenapa tak makan rumput? Macam mana aku nak makan perut aku sakit
Perut oh perut mengapa engkau sakit? Macam mana aku tak sakit makan nasi mentah
Nasi oh nasi mengapa engkau mentah? Macam mana aku tak mentah kayu api basah
Kayu oh kayu mengapa engkau basah? Macam mana aku tak basah hujan timpa aku
Hujan oh hujan Kenapa kau timpa kayu? Macam mana tak timpa kayu katak panggil aku
Katak oh katak mengapa panggil hujan? Macam mana aku tak panggil ular nak makan aku
Ular oh ular Kenapa nak makan katak? Macam mana aku tak makan memang makanan aku, memang makanan aku.....”

Antara objek, benda dan binatang yang terdapat dalam lagu di atas yang manakah anda fikirkan betul? Ya... ular yang betul. Ular tidak menyalahkan sesiapa yang menyebabkan dia nak makan katak, tapi dia mengakui yang dia sendiri nak memakannya kerana sememangnya katak itu makanan bagi ular. Yang lain-lain tu semuanya menyalahkan yang lain dan tidak mahu mengakui kesalahan dan kesilapan sendiri. Masing-masing menudingkan jari ke arah lain.

Wahai Melayu bangsaku! Marilah sama-sama kita mengakui kesilapan dan kesalahan diri kita sendiri, janganlah sombong dan ego dengan hanya menyalahkan orang lain. Bangau akan terus kurus selama-lamanya jika hanya asyik menyalahkan ikan sahaja. Begitulah kita tidak boleh maju dan berada di tahap yang sama jika terus menyalahkan orang lain.

Jumaat, 2009 Jun 19

LAGI USAHA ME 'LAYU' KAN BAHASA MELAYU


Kami bantah Idea mensyaratkan Bahasa Inggeris mesti lulus untuk menentukan tahap lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Kami MELAYU, merayu kepada Kementerian Pelajaran Malaysia bertindak secara rasional dan relevan dan jangan memperjudikan nasib para pelajar kita dengan dasar yang " setiap kali menteri baru mengambil alih , setiap kali dasar baru akan dicipta”.

Kami dukacita walaupun pada dasarnya Bahasa Melayu didaulatkan, tapi sedikit demi sedikit ada racun yang disembur boleh menyebabkan bahasa ini akan pupus jua di satu masa nanti.

Sekarang ini pun Bahasa Melayu sudah hampir ‘Layu’ di tanahairnya sendiri. Di bandar, di media kita dapat saksikan bahasa ini sudah dirobek-robekkan. Melayu sudah segan berbahasa Melayu tapi sebaliknya bangga dengan Bahasa Inggeris. Mula-mula guna bahasa rojak... selepas itu guna bahasa ‘burger atau hot dog’ kerana rojak juga masih ada sikit-sikit Melayunya.

Wahai Melayu bangsaku! Kepada siapa yang hendak kami harapkan lagi jika tidak kepada kamu yang memimpin dan punyai kuasa. Sekali lagi kami merayu, rayu dan rayu.... pertahankanlah Bahasa Melayu. Kami tak kata Bahasa Inggeris tak penting, tapi jangan bahasa sendiri terpelanting.

Isnin, 2009 Jun 15

Mari Kita Pakai Songkok




Lelaki Melayu kini jarang kelihatan memakai songkok. Hanya ketika menyambut hari raya ataupun istiadat majlis perkahwinan barulah sesekali songkok digunakan. Sebenarnya Songkok merupakan sejenis topi tradisional bagi orang Melayu. Songkok ini popular bagi masyarakat melayu di Malaysia, Singapura, Indonesia dan selatan Thailand. Bagi kalangan orang Melayu, songkok menjadi pemakaian kepala yang rasmi ketika menghadiri uparaca-upacara rasmi seperti upacara perkahwinan, solat jumaat, upacara keagaamaan dan sewaktu menyambut Hari Raya Puasa dan Hari Raya Qurban.

Di zaman dahulu, songkok merupakan topi yang biasa di pakai oleh orang-orang Melayu. Semasa saya masih di zaman kanak-kanak sekitar tahun 60an, pemakaian songkok masih lagi popular. Arwah bapa saya sendiri menggunakan songkok setiap hari semasa bekerja ataupun pergi ke mana-mana hingga dia digelar 'Hashim Songkok'.

Di Majlis-majlis perkahwinan zaman dahulu, tetamu-tetamu lelaki yang pergi makan kenduri boleh dikatakan ramai yang bersongkok, mereka rasa kekok jika pergi dengan kepala kosong. Begitu juga jika menziarahi mayat di mana-mana sahaja. Kini, segala-galanya sudah berubah. Perlukah kita semua hanya gunakan songkok ketika menyambut hari raya sahaja?

Apa kata kalau kita bersama-sama kembali memakai songkok semula. Walaupun hanya sesekali, sekurangnya budaya pemakaian orang Melayu dapat kita pertahankan. Alangkah cantik dan segak bila melihat songkok di kepala orang-orang kita. Nampak kemas dan bergaya, melambangkan peribadi Melayu yang sebenarnya.

Khamis, 2009 Mei 07

PPSMI Ditolak 5 Sasterawan



Dasar kontroversi Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menerima tamparan besar sekali lagi hari ini apabila kesemua lima sasterawan negara yang masih hidup menolaknya.

Sebagai menguatkan bantahan mereka, dua tokoh sasterawan - Datuk A Samad Said dan Muhammad Salleh - membayangkan akan membuang gelaran rasmi kerajaan itu "jika keadaan memerlukan".

"Oh, memang sanggup (buang gelaran). Memang sanggup. Sudah pun saya beritahu dalam wawancara (sebelum ini). Itu saya kira, kalau (dikatakan) sasterawan negara itu berdegar bunyinya, ambillah kesemuanya," kata A Samad.
Tiga lagi sasterawan negara yang menentang dasar PPSMI - Datuk Shahnon Ahmad, Datuk Noordin Hassan dan Datuk Abdullah Hussain.

Rabu, 2009 Mei 06

Pantun Budi Bahasa Melayu


Orang Melayu terkenal dengan kaya budi bahasanya. Pantun yang patut menjadi kebanggaan bangsa Melayu:

Burung serindit terbang melayang,
mari hinggap di ranting mati, 
bukan ringgit dipandang orang, 
budi bahasa rangkaian hati. 

Anak teruna menanam betik 
Buah cempedak dalam raga 
Apa guna berwajah cantik 
Kalau kurang budi bahasa 

Ayam hutan terbang ke hutan 
Tali tersangkut pagar berduri 
Adik bukan saudara bukan 
Hati tersangkut kerana budi


Selasa, 2009 Mei 05

Pengkritik Realiti Tv Dan Ramai Lagi Gemar Berbahasa Rojak

Jika anda tonton Tv rancangan realiti (contoh AF saluran Astro), kita dapati kebanyakkan pengkritik gemar berbahasa rojak (Melayu + Inggeris) sekerat-sekerat. Begitu juga di TV2 RTM dalam sebuah rancangan realiti juga, peserta yang terlibat pun sering tersasul bertutur kerana mencampur adukkan bahasa Melayu dengan Inggeris. Sebenarnya banyak lagi, tapi saya jarang tonton Tv. Begitu juga dengan radio swasta (kecuali RTM), penggunaan bahasa rojak sudah jadi perkara biasa.

Tak guna lagi kita tegur, sampai berbuih mulut pun mereka tetap begitu. Mereka bangga bercakap sekerat Inggeris sekerat Melayu begitu. Kononnya mereka sudah maju. Orang yang bercakap bahasa Melayu dengan betul dianggap kolot dan ketinggalan zaman. Terus terang saya katakan, saya amat benci dengan mereka-mereka yang sanggup menjahanamkan bahasa sendiri. Malukah mereka jadi 'orang melayu'?
Saya harap Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim dapat berbuat sesuatu supaya 'Tidak Ada Ruang Di Radio Dan Tv Untuk Bahasa Rojak'. Penerbit haruslah berhati-hati untuk potong atau edit penggunaan bahasa demikian di media. Jika mereka tak boleh juga berbahasa Melayu dengan betul, jangan benarkan mereka muncul di tv atau ke udara di radio. Menteri-menteri dan pemimpin pun sama juga, tunjuklah contoh berbahasa Melayu dengan baik. Saya tidak akan jemu menulis isu bahasa rojak di blog ini sehingga ianya selesai.
Hidup Bahasa Melayu! Daulat Bahasa Melayu! Pergi Jahanam Bahasa Rojak!

Ahad, 2009 April 26

Kenapa Artis dan Selebriti Sanggup Lukakan Hati Melayu?


Wahai Melayu! Walaupun berat, walaupun mungkin saya dimarah, dibenci dan sebagainya, saya terpaksa menulis di sini kerana atas nama Melayu yang beragama Islam. Saya amat berdukacita apabila ada artis-artis atau selebriti yang menjadi idola remaja terutamanya memberikan jawapan sumbang mengenai soal hukum hakam Islam dan adat Melayu.

Bintang Popular Nabil atau namanya Ahmad Nabil yang namanya naik kerana Raja Lawak Astro boleh bercakap begini ketika diajukan pertanyaan kepadanya kerana memeluk anak dara orang yang bukan isterinya. "Kata Nabil dalam satu akhbar, perbuatannya itu tidak menjejaskan ekonomi negara pun". Baguslah berfikiran begitu sebab dia fikir soal ekonomi negara kita yang turut terkena tempias tekanan ekonomi global untuk dikaitkan dengan memeluk anak dara orang.

SAMA ada Ahmad Nabil sengaja atau tidak, bukan isu lagi kerana perlakuan secara spontan itu masih menjadi bualan masyarakat sementelah dipancarkan terus menerus oleh TV3 yang khabarnya jumlah penonton malam final Anugerah Bintang Popular 2008 itu mencecah 4.2 juta orang. Nabil memeluk kekasihnya Irma Hasmie kerana teruja dan tergamam apabila diumumkan pemenang Bintang Paling Popular sepanjang tahun lalu. Hingga ketika ini, kisah peluk dan spontan itu belum habis diperkatakan.

Sayangnya tak pula dia terfikir atau berkata mengenai kesan sosial dan jauh sekali soal agama dan hukum-hakamnya. Kalaulah Nabil mengambil tindakan meminta maaf dan mengaku tersilap atas perbuatannya itu mungkin masih boleh dimaafkan.

Lepas satu, satu lagi terjadi....KONSERT Akademi Fantasia ke-7 minggu lalu bukan sahaja mengundang tanda tanya oleh sesetengah penonton, tenaga pengajar, dan pengkritik malah turut menimbulkan kontroversi kecil apabila pelajar yang tersingkir, Aril telah memeluk beberapa orang tenaga pengajar wanita tanpa segan silu.

Apabila meminta Aril atau nama sebenarnya Khairil Azam Pilus, 24, menjelaskan keadaan tersebut, dalam nada yang bersahaja dia menjawab pelukan itu berlaku disebabkan hubungan kekeluargaan yang dibina selama ini. Katanya, “Kami punya perasaan selama 61 hari dalam Akademi sudah seperti keluarga yang erat terutama Cikgu Fatimah dan Cikgu Siti Hajar yang saya anggap sudah seperti ibu saya sendiri manakala Cikgu Ida Nerina seperti kakak saya.
Pelukan itu sebagai tanda hormat kerana susah saya hendak bagi tanda hormat memandangkan orang luar tak faham situasi kami di dalam,” jelas Aril.

Ya, Hukum Allah mengatakan perbuatan itu salah. Adat susila Melayu juga mengatakan salah. Tapi hukum artis-artis dan selebriti sendiri mengatakan itu tidak salah. Entah mazhab apa yang mereka gunakan. Kepada kita yang melarangnya mereka pandang benci dan menuduh kita kolot dan ketinggalan zaman. Sedangkan Allah melarang mereka yang bukan muhrim dari menghampiri zina, malah berjabat tangan antara lelaki dan wanita yang bukan muhrim pun juga tidak dibenarkan.

Apa kata kalau isteri kita atau anak-anak kita yang ada di tepi mereka ketika itu. Sudah pasti mereka akan memeluk juga, kononnya tergamam, kerana rapat, macam saudara sendiri, tak menjatuhkan ekonomi negara dan lain-lain lagi. Bolehkah jawapan ini mereka jawab apabila ditanya oleh Tuhan di akhirat nanti? Adakah mereka terlepas dari hukuman dengan memberikan jawapan begini.

Inilah dunia hiburan kita. Sebilangan artis-artis dan selebriti Melayu yang beragama Islam memandang remeh adat susila bangsa kita dan apa lagi soal agama yang mereka anuti. Siapakah nanti yang hendak kita persalahkan apabila anak-anak generasi masa depan kita akan lebih memparahkan lagi keadaan ini? Bukan sekali, malah telah berkali-kali perkara ini berlaku, namun ianya tidak menjadi pengajaran kepada sebilangan artis dan personaliti Melayu kita.

Sekali lagi Wahai Melayu yang beragama Islam, kembalilah ke ajaran Islam yang sebenarnya, kembalilah kepada adat dan tata susila Melayu yang sebenarnya. Mahukah nanti anak-anak kita generasi akan datang melakukannya dengan lebih teruk lagi. Budaya barat tetap barat, jangan diikut atau ditiru. Sekarang ini orang barat dah porak peranda. Dengan kehendak Tuhan, memang benar ekonomi dunia sedang jatuh... Jangan memperolok-olokkan hukum Tuhan. Ini bukannya lawak jenaka. Fikir sendirilah....

Sabtu, 2009 April 18

Azizi Hj. Abdullah Menullis Mengenai Melayu

Sahabat saya Penulis Azizi Hj. Abdullah menulis begitu panjang mengenai MELAYU dalam blognya. Saya petikkan sedikit untuk disiarkan di sini -

".....Kenyataan-kenyataan tentang Melayu kini sebenarnya bukan sesuai lagi dilempar ke akhbar. Ia sepatutnya menjadi pembungkus nasi lemak sahaja. Sekarang ini, bercakap tentang apa saja jenama ‘Melayu’ ia adalah pembunuh Melayu itu sendiri.

Contoh yang paling ketara sekarang ialah pejuang Bahasa Melayu. Siapakah yang menembak ges pemedih mata? Jawabnya Melayu. Siapa yang mengeluarkan perintah? Jawabnya Melayu. Siapa yang memukul, mengheret Melayu? Jawabnya Melayu dan siapa pula yang jadi mangsa? Jawabnya Melayu.

Apakah keadaan ini tidak boleh dibetulkan sesudah beberapa lama?......" 


Dipetik dari blog Penulis  Azizi Hj. Abdullah

Rabu, 2009 April 15

NUTP tolak Sains, Matematik guna BI di sekolah rendah


KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), menolak pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di peringkat sekolah rendah. Pendirian terbaru kesatuan mewakili 135,000 guru itu yang sebelum ini menyokong program dilaksanakan Kementerian Pelajaran sejak 2003 diputuskan ketika Persidangan Perwakilan NUTP ke-18 di Pulau Pinang pada 24 hingga 27 Ogos lalu. Setiausaha Agung NUTP, Loke Yim Pheng, berkata delegasi menolaknya selepas mendapati majoriti murid di sekolah rendah mengalami kesukaran mengikutinya terutama dari segi memahami istilah Sains serta Matematik dalam Bahasa Inggeris. "Menerusi maklumat dan pandangan diterima daripada guru terbabit dalam PPSMI, murid di sekolah rendah terutama mereka di tahap satu (tahun satu hingga tiga) masih gagal menguasai istilah dua subjek itu ketika diajar dalam Bahasa Inggeris.

Selasa, 2009 April 14

Saki Baki Melayu Tinggal Sikit Saja Lagi






Lihat cebisan web dan blog-blog ini, masing-masing mengenai PPMSI. Suara rakyat minta bahasa Ibunda iaitu Bahasa Melayu dipelihara dan didaulatkan. Wahai Melayu, inilah lagi saki baki hak kita.... yang tinggal di sini.

Isnin, 2009 April 13

Melayu Kena Awas





WAHAI MELAYU YANG BERAGAMA ISLAM, AWASLAH DAN BOIKOTLAH!

* Awasi sarung telefon bimbit dari kulit babi ( Sumber: PPIM)

* Awasi Pinggan Mangkok China-Bone yg diperbuat daripada campuran tulang babi

* Boikot serbuk rempah masakan dan sop produk Bukan Melayu sebab belum tentu halal dan kerana meminggirkan pekerja Melayu.

* Boikot produk atau perkhidmatan yang di iklankan di tv yang tidak langsung memaparkan muka  Melayu.

* Elakkan memakan Tossai dari Bukan-Islam kerana dipercayai mereka menambah perasa masam tossai dengan tuak (samsu)

*Awasi kedai makan yang menyamar sebagai Kedai Nasi Kandar tetapi diusahakan oleh bukan       Islam. Jangan terpengaruh dengan frame gambar ayat-ayat Quran yang tergantung!

* Usah layan berbual dengan orang-orang yang bercakap bahasa rojak sehinggakan   mencemarkan Bahasa Melayu. 

* Jangan mendewa-dewakan lagu-lagu dan artis Barat, Hindustan dan lain-lain yang tidak ada        kena mengena dengan Melayu.

* Pilihlah penyanyi yang menyanyikan lagu Melayu dengan fasih dan boikot mereka yang     menyanyi lagu Melayu dalam pelat bangsa lain.

Jumaat, 2009 April 10

Yang Terlanjur, Kembalilah Ke Pangkal Jalan

Ini juga Melayu! Kita belum terlambat. Yang terlanjur, kembalilah ke pangkal jalan. Tidak ada siapa yang tidak pernah membuat salah, Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Bertaubatlah... 

Bersyukur kita menjadi Melayu dan beragama Islam. Jagalah ianya baik-baik.... 



Sajak Usman Awang - Melayu


Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.

Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar,
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut,
Biar mati adat
Jangan mati anak.

Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu
Banjar juga disebut Melayu, 
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistani, semua Melayu
Mamak dan Malbari serap ke Melayu
Malah mua'alaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu)

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
tanah sebidang mudah terjual

Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi

Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.

Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan

Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut

Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Segala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
"Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran"

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.

Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka "

NUKILAN
Usman Awang

Noraniza Idris Martabatkan Lagu Melayu


Saya menghargai penyanyi Noraniza Idris kerana terus mempertahankan lagu-lagunya yang berIrama Malaysia dan penuh keMelayuan dalam album-albumnya yang terkemudian.

DIKIR PUTERI

Bermohon sembah sembah berhajatHajat berasal kayangan puri
Hamba puteri imbas berempat
Turun bermalam serata negeri
Bermohon sembah sembah berhajat
Hajat berasal kayangan puri
Tuan puteri imbas berempat
Turun bermalam serata negeri
Sungguh terdengar bukan igauan
Antan bertingkah sahut-sahutan
Si anak muda pandang-pandangan
Tua melarang dalam senyuman
Malam mengemping terang cahaya
Riuh sekampung asyik bersenda
Walaupun datang dalam bayangan
Diri memandang minta berteman
( ulang 1 )
Satu rumpun satulah kata
Dua hati berpadulah jiwa
Tiga temu setia memangku
Empat pula sudah bersimpul mati
Mari adik mari abang (2 x)
Kecil besar tua muda (2 x)
Mari sama kasih sayang (2 x)
Moga hidup kan bahagia
Walau jauh walau dekat (2 x)
Sama-sama muafakat (2 x)
Datangnya sementara
Entah esok lusa kembali semula
Kembali semula

Khamis, 2009 April 09

Kenapa Bahasa Melayu Dirojakkan


Cuba anda baca tulisan ini -

“...........Ada sorang budak OKU ni, naik kat Taman Melati. OKU yang mempunyai masalah terencat akal (I'm sorry if I offended anyone but I can't think of the right word - please correct me). 

The moment dia naik, a guy gave him a seat. He sits, and said thank you to the guy then, he greeted selamat pagi to a three or four years old boy beside him. The boy was sitting on his mother's lap. The mother look away, as if she was menahan gelak. Me, once in a while I glanced to him in between chapters in the novel I'm reading.

The OKU kid (ok, this is sickening to be calling him such, aku tak tanya nama dia, so aku tak tau nama dia, thus, lets just call him JOE). So, Joe cuba untuk memulakan perbualan dengan budak 4 tahun tadi. But you knowlah, budak 4 tahun, bukan dia berminat sangat pun........”

Maafkan saya, saya terasa sedih apabila bahasa ibunda saya “Bahasa Melayu” telah dirojakkan sebegini rupa. Ini berlaku sekarang di tahun 2009. Apa akan terjadi di masa-masa depan? Inilah yang saya bimbangkan. Di mana lagi akan tinggal saki baki khazanah berharga kita ini.
Wahai Melayu! Sayangilah bahasa kita ‘Bahasa Melayu’

Isnin, 2009 April 06

Mak Yong DiPentaskan di Pulau Pinang


Wahai Melayu! Seni kita jangan dibiarkan pupus

Mak Yong dari Istana Budaya di PEMENTASAN MAKYONG  “Dewa Indera Indera Dewa” OLEH KUMPULAN MAK YONG SERI NILAM ISTANA BUDAYA sempena program PUSAT SENI SETEMPAT 2009 yang  diadakan pada : 04 April 2009 (Sabtu) masa : 8.45 malam bertempat : di Pentas Arena, Taman Budaya Negeri, KPWS, Lintang P.Ramlee, Pulau Pinang (RUMAH P.RAMLEE).

Kehadiran penonton sederhana, mungkin kerana hujan renyai-renyai ketika itu. Namun penonton tidak berganjak di tempat duduk sehingga persembahan tamat. Tahniah kepada Kumpulan Mak Yong Seri Nilam Istana Budaya dan juga Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Negeri Pulau Pinang kerana pementasan ini dapat diadakan dengan jayanya.

Mak Yong

Makyong merupakan salah satu permainan tradisional dari Negeri Kelantan  yang masih lagi digemari oleh orang ramai dan kini ianya dipersembahkan dalam bentuk taridra untuk pertunjukan di peringkat antarabangsa. Pada masa dahulu permainan ini dipersembahkan selepas sahaja orang-orang kampung selesai menuai padi di bendang. Makyong dapat didefinisikan sebagai satu bentuk drama.

Foto Oleh: Omar M. Hashim (OMARA)

Isnin, 2009 Mac 30

Saya Mulakan Blog Ini


Dengan kalimah Bismillah - “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang” maka saya mulakan membuka blog Tak Kan Melayu Hilang Di Dunia ini. 

Saya bersyukur menjadi orang Melayu. Saya cintakan bangsa Melayu. Hari ini memang ada tanda-tanda keaslian Melayu semakin tercemar. Jika bukan kita, siapakah lagi yang akan mempertahankan keMelayuan kita.

Saya akan mengambil masa sedikit demi sedikit menulis, menyusun dan berkongsi pendapat dengan pembaca/pelayar blog ini semua. Selamat Melayu!